Menu
Kembali Ke Halaman Utama

PERJANJIAN ENTITI KOMERSIAL UNTUK PERKHIDMATAN PEMPROSESAN DIBIAYAI KAD BAYARAN PAYPAL

PERJANJIAN ENTITI KOMERSIAL UNTUK PERKHIDMATAN PEMPROSESAN DIBIAYAI KAD BAYARAN PAYPAL

Terakhir dikemas kini pada 3 Mac 2022

PERJANJIAN ENTITI KOMERSIAL GLOBAL PAYMENTS UNTUK PERKHIDMATAN PEMPROSESAN KAD KREDIT

Perjanjian Pengguna Entiti Komersial ini adalah untuk Perkhidmatan Pemprosesan Kad Kredit (“Perjanjian Entiti Komersial” atau “CEA”) yang disediakan kepada semua Pengguna PayPal yang memenuhi definisi “Entiti Komersial” atau yang setara di bawah Peraturan Persatuan (ditakrifkan di bawah) dan kepada yang membuka dan menggunakan Akaun PayPal. (Setiap entiti atau individu yang menerima dokumen ini dengan ini dirujuk sebagai “Peniaga”). CEA ini membentuk kontrak perundangan berasingan bagi Peniaga untuk pemprosesan kad kredit antara (1) Peniaga, sebagai Entiti Komersial; (2) Ahli (seperti yang ditakrifkan di bawah); dan (3) entiti Global Payments yang bertindak sebagai pemproses bayaran bagi transaksi bayaran Peniaga, yang mana entiti tersebut boleh berupa GPUK LLP, perkongsian terhad di United Kingdom (“GPUK”), Global Payments Europe s.r.o., syarikat berhad di Republik Czech (“GPE”), atau Global Payments Limited, syarikat berhad di Malta (“GPM” dan bersama-sama dengan GPUK dan GPE, “Pemproses Bayaran”). Ahli atau Pemproses Bayaran boleh menamatkan peruntukan perkhidmatan pemprosesan kad kreditnya dan menguatkuasakan atau bergantung pada mana-mana terma atau peruntukan dalam Perjanjian Pengguna PayPal ("PUA") Peniaga, yang mana semua perkara yang dianggap relevan oleh Ahli atau Pemproses Bayaran digabungkan ke dalam CEA ini melalui rujukan. Dalam CEA ini, "kami" merujuk kepada Ahli dan juga Pemproses Bayaran, melainkan untuk tujuan Peraturan Persatuan atau keahlian, ia mestilah bermaksud Ahli sahaja. Bagi tujuan CEA ini dan pelaksanaannya oleh Pemproses Bayaran: (i) sekiranya Pemproses Bayaran dan Ahli adalah entiti yang berasingan, (A) Pemproses Bayaran adalah ejen eksklusif Ahli dan (B) Ahli bertanggungjawab terhadap pelaksanaan Pemproses Bayaran CEA; (ii) Ahli perlu meluluskan terlebih dahulu sebarang yuran yang harus dibayar atau yang menjadi kewajipan kepada Peniaga di bawah CEA ini; dan (iii) Pemproses Bayaran mungkin tidak mempunyai akses, secara langsung atau tidak langsung, kepada mana-mana akaun untuk dana atau dana yang perlu dibayar kepada Peniaga dan/atau dana yang ditahan daripada Peniaga untuk caj balik yang timbul daripada atau yang berkaitan dengan pelaksanaan CEA ini.

Bagi tujuan CEA ini, "Ahli " bermaksud (a) GPUK, GPE, atau GPM jika Peniaga berpusat di Eropah, termasuk United Kingdom; (b) Global Payments Asia-Pacific (Hong Kong) Limited jika Peniaga berpusat di Hong Kong; (c) Global Payments Asia-Pacific (Hong Kong Holding) Limited, Cawangan Singapura jika Peniaga berpusat di Singapura; (d) GPC Financial Corporation jika Peniaga berpusat di Kanada; (e) Global Payments Australia 1 Pty, Ltd. jika Peniaga berpusat di Australia; (f) Global Payments Asia-Pacific (Philippines) Inc. jika peniaga berpusat di Filipina; dan/atau (g) Global Payments Card Processing Malaysia Sdn. Bhd. jika peniaga berpusat di Malaysia.

Sebarang rujukan kepada PUA adalah merujuk kepada Perjanjian Pengguna PayPal yang dibuat antara Peniaga dengan PayPal.

Dengan menerima Perjanjian Entiti Komersial, Peniaga bersetuju dengan terma dan syarat CEA ini dan apa-apa dokumen yang terkandung melalui rujukan. Peniaga selanjutnya bersetuju bahawa CEA ini membentuk kontrak yang mengikat secara sah antara Peniaga, Pemproses Bayaran dan Ahli. Sebarang hak yang tidak diberikan secara jelas dalam dokumen ini adalah disimpan oleh Ahli dan Pemproses. Huraian pindaan material kepada CEA ini akan disediakan seperti yang terpakai. Sebarang istilah berhuruf besar yang digunakan dalam CEA ini dan tidak ditakrifkan secara khusus hendaklah ditakrifkan seperti yang diperuntukkan dalam PUA.

  1. Peraturan Persatuan
    1. Transaksi Deposit. Peniaga bersetuju bahawa peniaga hanya akan menyerahkan transaksi kad yang terhasil secara langsung daripada transaksi pemegang kad bona fide dengan Peniaga itu. Peniaga bersetuju bahawa ia tidak akan mengemukakan transaksi sehingga Peniaga: (i) mendapat pengesahan, (ii) melengkapkan transaksi, dan sama ada: (iii) menghantar atau menyediakan barangan, (iv) menjalankan perkhidmatan yang dibeli, atau (v) mendapat persetujuan pemegang kad untuk transaksi berulang.
    2. Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Peniaga bersetuju bahawa peniaga tidak akan mengemukakan transaksi yang tidak terhasil daripada pembelian barangan atau perkhidmatan antara pemegang kad dengan Peniaga.
    3. Transaksi Pembahagian. Transaksi jualan pembahagian tidak dibenarkan. Secara khusus, Peniaga bersetuju bahawa ia tidak akan menggunakan dua atau lebih resit transaksi jualan bagi satu transaksi bagi mengelakkan atau menghindari had kebenaran atau program pemantauan.
    4. Minimum atau Maksimum. Peniaga bersetuju bahawa ia tidak akan menetapkan amaun transaksi minimum atau maksimum sebagai syarat untuk menerima pembayaran menggunakan kad Visa dan MasterCard.
    5. Surcaj. Peniaga bersetuju bahawa peniaga tidak akan mengenakan surcaj untuk transaksi kad debit. Tertakluk kepada sebarang variasi yang dinyatakan secara jelas oleh undang-undang tempatan.
    6. Tanda Dagangan Visa dan MasterCard. Peniaga diberi kuasa untuk menggunakan logo atau tanda dagangan Visa dan MasterCard hanya pada bahan promosi dan laman web Peniaga untuk menunjukkan bahawa kad Visa dan MasterCard diterima sebagai bayaran bagi barangan dan perkhidmatan perniagaan. Peniaga bersetuju bahawa ia tidak akan menggunakan logo dan tanda dagangan sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk memberi tanggapan bahawa Visa atau MasterCard menyokong barangan atau perkhidmatan Peniaga; dan Peniaga juga tidak boleh merujuk kepada Visa atau MasterCard ketika menyatakan syarat kelayakan untuk membeli produk, perkhidmatan, atau keahliannya.
    7. Baucar Kredit. Baucar kredit tidak boleh diserahkan untuk transaksi bukan kredit. Peniaga bersetuju bahawa ia tidak akan: (i) menerima bayaran daripada pemegang kad untuk tujuan mendepositkan dana ke Akaun pemegang kad, atau (ii) memproses transaksi kredit tanpa melengkapkan transaksi debit terdahulu dengan pemegang kad yang sama.
    8. Pembayaran Tunai. Peniaga bersetuju bahawa jika peniaga menjual cek kembara atau mata wang asing, Pembayaran tersebut adalah terhad kepada nilai cek, Visa TravelMoney, atau mata wang yang dijual dalam transaksi tunggal, termasuk mana-mana komisen yang berkenaan. Peniaga bersetuju bahawa dalam apa-apa juga keadaan, transaksi Visa atau MasterCard tidak akan mewakili pungutan cek tak laku.
    9. Keperluan Kebenaran. Peniaga bersetuju untuk mendapatkan kebenaran bagi semua amaun transaksi.
    10. Diskriminasi. Peniaga bersetuju bahawa peniaga tidak akan terlibat dalam apa-apa amalan penerimaan yang mendiskriminasikan atau tidak menggalakkan penggunaan Visa atau MasterCard kerana memilih mana-mana jenama penerimaan lain.
    11. Kemukakan Transaksi dalam tempoh 30 Hari Bekerja. Peniaga bersetuju bahawa sesuatu transaksi debit tidak boleh dikemukakan sehingga barangan dihantar atau perkhidmatan diberikan, kecuali jika pada waktu transaksi tersebut, pemegang kad bersetuju terhadap penyerahan barangan atau perkhidmatan yang tertangguh itu yang dimaklumkan dengan jelas. Peniaga bersetuju bahawa apabila peniaga menerima kebenaran untuk pengemukaan tertangguh, perkataan “Pengemukaan Tertangguh” atau sesuatu yang serupa dengan ketara mesti didedahkan kepada pemegang kad.
    12. Penggunaan Maklumat Akaun untuk tujuan Penipuan atau Tanpa Kebenaran adalah Dilarang. Peniaga bersetuju bahawa ia tidak akan meminta atau menggunakan maklumat nombor Akaun Visa atau MasterCard untuk sebarang tujuan yang diketahui atau sepatutnya diketahui sebagai penipuan atau melanggar piawaian Visa dan MasterCard, Peraturan Persatuan, PUA atau CEA ini, atau untuk sebarang tujuan yang tidak dibenarkan oleh pemegang kad.
    13. Identifikasi Peniaga. Peniaga bersetuju untuk memaklumkan identiti Peniaga di semua tempat interaksi dengan jelas dan ketara kepada pemegang kad supaya pemegang kad boleh mengenal pasti transaksi dengan mudah.
  2. Persatuan Kad
    Visa Europe Ltd, Visa U.S.A., Inc. dan Visa International ("Visa") dan MasterCard International Incorporated ("MasterCard") ("Persatuan") telah membangunkan peraturan dan pengawalan ("Peraturan Persatuan") yang mentadbir bank ahli dan peniaga persatuan dalam prosedur, tanggungjawab dan peruntukan risiko untuk bayaran yang dibuat melalui Persatuan. Dengan menerima CEA ini, Peniaga bersetuju untuk mematuhi semua Peraturan Persatuan tersebut.
  3. Polisi Bayaran Balik Peniaga mestilah berada di Laman Web Peniaga.
    Jika Peniaga mengehadkan terma bayaran balik/pertukaran atau syarat khusus lain untuk jualan Kad, POLISI Peniaga HARUS DINYATAKAN DENGAN JELAS KEPADA PEMEGANG KAD SEBELUM JUALAN DAN SEBAGAI SEBAHAGIAN PROSES PENGESAHAN JUALAN ANDA. PENDEDAHAN YANG BETUL MESTI TERMASUK PERKATAAN YANG DIPAPARKAN DENGAN JELAS DAN MENYATAKAN "TIADA BAYARAN BALIK, PERTUKARAN SAHAJA", ATAU SESUATU YANG SERUPA DENGAN KETARA DAN TERMASUK APA-APA TERMA KHAS. NOTA: KELAYAKAN TERMA BAYARAN BALIK ATAU PERTUKARAN ANDA TIDAK AKAN MENGHAPUSKAN liabiliti ANDA SEPENUHNYA untuk bayaran balik kerana undang-undang perlindungan pengguna dan Peraturan Persatuan biasanya masih membenarkan pemegang kad membuat pertikaian untuk item ini. Khususnya, dengan melaksanakan Perintah 97/7/EC, kebanyakan negara ahli Kesatuan Eropah mempunyai peraturan jualan jarak jauh yang membolehkan pengguna membatalkan kontrak dengan Peniaga dalam tempoh yang ditetapkan dan menerima bayaran balik.
  4. Tempoh dan Penamatan. CEA ini berkuat kuasa pada tarikh Peniaga menerima terma dan syarat yang ditetapkan di sini dan akan terus berkuat kuasa selagi Peniaga menggunakan Perkhidmatan PayPal (“Perkhidmatan”) atau sehingga ditamatkan oleh Peniaga, Pemproses Bayaran atau Ahli, dengan syarat bahawa terma-terma tersebut, yang secara sifatnya bertujuan untuk kekal selepas penamatan (termasuk tetapi tidak terhad kepada, kewajipan ganti rugi, kewajipan caj balik dan had liabiliti) akan terus kekal selepas penamatan. CEA ini boleh ditamatkan oleh Ahli atau Pemproses Bayaran pada bila-bila masa berdasarkan pelanggaran mana-mana kewajipan Peniaga di bawah perjanjian ini atau atas apa-apa sebab lain yang dianggap luar biasa oleh Ahli atau Pemproses Bayaran. CEA ini akan ditamatkan secara automatik sebaik sahaja penamatan mana-mana PUA Peniaga.
  5. Ganti Rugi. Peniaga bersetuju untuk melindungi, mempertahankan dan memastikan Ahli serta Pemproses Bayaran tidak menanggung sebarang kerugian, liabiliti, kerosakan dan perbelanjaan (termasuk yuran guaman dan kos kutipan) yang mungkin ditanggung atau dialami oleh Ahli, Pemproses Bayaran dan/atau ahli gabungan atau ejen mereka, yang timbul daripada sebarang pelanggaran jaminan, aku janji atau salah penyataan oleh Peniaga di bawah CEA ini, atau yang timbul akibat daripada sebarang salah laku tort oleh Peniaga atau pekerja atau ejennya, berhubung dengan transaksi Kad atau yang timbul daripada peruntukan barang dan perkhidmatan kepada pemegang kad atau sebarang pelanggaran terhadap mana-mana keperluan undang-undang.
  6. Timbang Tara. Apa-apa pertikaian berhubung dengan CEA ini antara Peniaga, Pemproses Bayaran dan/atau Ahli, termasuk pertikaian tentang kesahan atau kewujudan CEA ini dan/atau fasal ini, akan diselesaikan melalui timbang tara di London, England, yang dijalankan dalam Bahasa Inggeris oleh seorang penimbang tara mengikut Peraturan ICC. Semua pihak bersetuju untuk mengetepikan mana-mana hak rayuan terhadap award timbang tara. Sekiranya pihak-pihak ini gagal bersetuju mengenai penamaan penimbang tara tunggal dalam tempoh 30 hari selepas satu pihak memohon pihak yang lain untuk berbuat demikian, seorang penimbang tara akan dilantik oleh ICC.
  7. Penyerahan/Pindaan. CEA ini berkuat kuasa pada tarikh Peniaga menerima terma dan syarat yang ditetapkan di sini dan akan terus berkuat kuasa selagi Peniaga menggunakan Perkhidmatan PayPal (“Perkhidmatan”) atau sehingga ditamatkan oleh Peniaga, Pemproses Bayaran atau Ahli, dengan syarat bahawa terma-terma tersebut, yang secara sifatnya bertujuan untuk kekal selepas penamatan (termasuk tetapi tidak terhad kepada, kewajipan ganti rugi, kewajipan caj balik dan had liabiliti) akan terus kekal selepas penamatan. CEA ini boleh ditamatkan oleh Ahli atau Pemproses Bayaran pada bila-bila masa berdasarkan pelanggaran mana-mana kewajipan Peniaga di bawah perjanjian ini atau atas apa-apa sebab lain yang dianggap luar biasa oleh Ahli atau Pemproses Bayaran. CEA ini akan ditamatkan secara automatik sebaik sahaja penamatan mana-mana PUA Peniaga.
  8. Penafian Waranti. CEA ini ialah perjanjian perkhidmatan. Kami menafikan semua representasi atau jaminan, sama ada secara nyata atau tersirat, yang dibuat kepada peniaga atau mana-mana individu lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada, sebarang jaminan mengenai kualiti, kesesuaian, kebolehpasaran, kesesuaian untuk tujuan tertentu atau sebarang jaminan lain terhadap perkhidmatan atau barangan yang disediakan secara sampingan berhubung dengan perkhidmatan yang diberikan di bawah CEA ini, setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.
  9. Penggunaan logo. Bagi penggunaan logo satu sama lain dan tanda dagangan lain, masing-masing bersetuju untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak satu lagi, seperti yang dimaklumkan oleh kedua-dua pihak kepada satu sama lain dari semasa ke semasa.
  10. Had Liabiliti. Walau apa pun yang bertentangan dalam CEA ini, pihak di bawah ini atau sekutunya, atau mana-mana pengarahnya, pegawai, pekerja, ejen atau subkontraktor, tidak akan bertanggungjawab dalam apa-apa pun keadaan, terhadap kehilangan keuntungan, kehilangan pendapatan, kehilangan peluang perniagaan, ganti rugi teladan, punitif, khas, sampingan, tidak langsung atau berbangkit, di bawah apa-apa teori tort, kontrak, liabiliti yang ketat atau teori perundangan yang lain, yang setiap satu daripada ini dikecualikan oleh perjanjian pihak, tidak kira sama ada ganti rugi sedemikian boleh diramalkan atau sama ada mana-mana pihak atau mana-mana entiti telah dinasihatkan tentang kemungkinan ganti rugi tersebut. Walau apa pun yang bertentangan dalam CEA ini, kami tidak akan bertanggungjawab, dalam apa-apa juga keadaan, terhadap apa-apa kelewatan atau kesilapan dalam pelaksanaan perkhidmatan yang disebabkan oleh pembekal perkhidmatan kami atau pihak lain atau peristiwa di luar kawalan munasabah kami, termasuk PayPal. Walau apa pun yang bertentangan dalam CEA ini, liabiliti terkumpul bagi pihak-pihak ini untuk semua kerugian, tuntutan, guaman, kontroversi, pelanggaran atau ganti rugi untuk apa-apa sebab sekalipun (termasuk, tetapi tidak terhad kepada yang timbul daripada atau berkaitan dengan CEA ini) dan tanpa mengira bentuk tindakan atau teori perundangan dan sama ada atau tidak timbul dalam kontrak atau tort (tidak termasuk kecuaian dan salah laku yang disengajakan) tidak boleh melebihi jumlah keseluruhan transaksi yang dinyatakan dalam amaun dolar A.S. yang diproses di bawah CEA ini. Tiada apa-apa pun dalam CEA ini yang akan dapat mengecualikan atau mengehadkan sebarang liabiliti mana-mana pihak atas kematian atau kecederaan diri yang disebabkan oleh kecuaian atau fraud, penipuan atau salah nyata penipuan, walau apa pun puncanya.
  11. Penguatkuasaan. Tiada terma dalam CEA ini boleh dikuatkuasakan oleh pihak ketiga dan individu yang bukan pihak dalam CEA ini khususnya, tidak mempunyai hak di bawah Akta Kontrak 1999 (Hak Pihak Ketiga) untuk menguatkuasakan atau menikmati apa-apa manfaat daripada CEA ini (sebagai individu selain pihak serta pengganti dan pembantu yang dibenarkan oleh mereka).
  12. Undang-Undang Pemerintah. Undang-undang pemerintah yang berkenaan dengan CEA ini adalah undang-undang England dan Wales. Setiap pihak dengan ini tertakluk pada bidang kuasa tidak eksklusif mahkamah England dan Wales.
  13. Penepian. Kegagalan pihak untuk menegaskan mana-mana haknya di bawah CEA ini, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, hak untuk menamatkan CEA ini jika berlaku pelanggaran atau keingkaran oleh pihak yang lain, tidak akan dianggap sebagai penepian oleh pihak itu terhadap hak untuk menguatkuasakan setiap dan semua peruntukan dalam CEA ini mengikut termanya.
  14. Hubungan antara Pihak; Tiada Perkongsian atau Agensi; Kontraktor Bebas. Tiada hubungan ejen, perkongsian, usaha sama atau pekerjaan yang dibentuk antara Peniaga, Pemproses Bayaran dan/atau Ahli melalui CEA ini. Dalam melaksanakan kewajipan masing-masing di bawah perjanjian ini, pihak-pihak yang terlibat adalah, dan akan terus menjadi, kontraktor bebas. Tiada apa-apa dalam CEA ini yang boleh ditafsirkan sebagai menjadikan mana-mana pihak sebagai ejen bagi pihak yang lain untuk apa-apa tujuan sekalipun. Tiada pihak yang akan mengikat, atau cuba mengikat, pihak yang lain kepada sebarang kontrak atau pelaksanaan mana-mana kewajipan, dan tiada pihak yang akan menyatakan kepada mana-mana pihak ketiga bahawa ia mempunyai hak untuk mewujudkan sebarang kewajipan yang mengikat bagi pihak-pihak yang lain.
  15. Tiada Penggunaan Perkhidmatan Secara Haram. Peniaga tidak seharusnya mengakses dan/atau menggunakan Perkhidmatan ini untuk tujuan yang tidak sah dan tidak seharusnya mengganggu atau menggendalakan rangkaian yang berkaitan dengan Perkhidmatan.
  16. Kebolehasingan. Apabila boleh, setiap satu daripada peruntukan CEA ini akan ditafsirkan dalam cara yang efektif dan sah di bawah undang-undang berkenaan, tetapi jika apa-apa peruntukan di dalamnya adalah dilarang atau ditentukan sebagai tidak sah oleh mahkamah bidang kuasa kompeten, peruntukan tersebut tidak akan berkuat kuasa setakat mana-mana larangan atau ketidaksahihan, tanpa membatalkan baki peruntukan tersebut atau peruntukan yang selebihnya dalam CEA ini.

PERJANJIAN ENTITI KOMERSIAL WORLDPAY UNTUK PERKHIDMATAN PEMPROSESAN DIBIAYAI KAD BAYARAN PAYPAL

Perjanjian Entiti Komersial untuk Perkhidmatan Pemprosesan Dibiayai Kad Bayaran PayPal ini (“Perjanjian Entiti Komersial” atau "CEA") dipersetujui oleh semua Pengguna PayPal yang merupakan Entiti Komersial (seperti yang ditakrifkan oleh Visa Europe, Visa Inc, Visa International, Mastercard Worldwide, UK Maestro, Solo dan/atau International Maestro (bersama-sama "Persatuan")). Setiap Pengguna PayPal ini dirujuk sebagai “Peniaga” dan boleh dirujuk di sini sebagai “anda”. CEA ini merupakan kontrak berasingan anda yang mengikat secara sah untuk pemprosesan kad kredit dan debit bagi transaksi PayPal antara anda dan Pemeroleh (seperti yang ditakrifkan di bawah).

Untuk tujuan CEA ini, "Pemeroleh" bermaksud (a) Worldpay (UK) Limited jika Peniaga berpangkalan di Eropah; dan/atau (b) Worldpay PTE Ltd jika Peniaga berpangkalan di Singapura; dan/atau (c) Worldpay (HK) Limited jika Peniaga berpangkalan di Hong Kong; dan/atau (d) Citizens Bank, N.A. jika Peniaga berpangkalan di Amerika Syarikat dan/atau (d) Worldpay PTY. Ltd jika Peniaga berpangkalan di Australia. Dalam CEA ini, "kami" merujuk kepada Pemeroleh.

Menurut peruntukan CEA ini, Pemeroleh boleh menamatkan penyediaan perkhidmatan pemprosesan kad kredit dan debit serta mewajibkan PayPal untuk menguatkuasakan mana-mana peruntukan perjanjian Peniaga dengan PayPal ("Perjanjian PayPal"), yang dipersetujui oleh dan antara Peniaga dan PayPal.

Peniaga bersetuju dengan terma dan syarat CEA ini. Peniaga selanjutnya bersetuju bahawa CEA ini membentuk kontrak yang mengikat secara sah antara Peniaga dan Pemeroleh; PayPal bukanlah pihak yang terlibat dalam kontrak ini dan hanya bertindak sebagai ejen bagi Pemeroleh yang berkaitan dengannya. Jika kami mencadangkan untuk mengubah CEA ini dalam cara yang ketara, PayPal akan memberikan anda bagi pihak kami sekurang-kurangnya notis 30 hari awal (atau tempoh minimum seperti yang dikehendaki oleh undang-undang) bagi perubahan tersebut. Selepas tempoh notis berlalu, anda akan dianggap bersetuju terhadap semua pindaan tersebut kepada CEA. Untuk meminda CEA ini tetapi bukan dengan cara yang ketara, PayPal akan menyiarkan bagi pihak kami versi CEA yang disemak pada laman web PayPal, dan versi yang disemak itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja ia disiarkan oleh PayPal.  Jika anda tidak bersetuju dengan sebarang pindaan yang dicadangkan, anda boleh menutup akaun PayPal anda sebelum tamat  tempoh notis yang diberikan dalam notis ataupun menurut terma-terma Perjanjian PayPal, dan CEA ini akan ditamatkan pada penutupan akaun anda. Perubahan kepada CEA ini akan dianggap dibuat dalam “cara yang ketara” jika perubahan tersebut melibatkan pengurangan hak anda atau peningkatan tanggungjawab anda.

  1. Tujuan CEA ini. Apabila pelanggan membayar anda melalui PayPal, mereka mempunyai pilihan untuk membayar anda melalui sumber pendanaan yang disokong oleh PayPal termasuk kad. Dalam kebanyakan keadaan, anda tidak akan mengetahui sumber pendanaan yang dipilih oleh pelanggan anda. Memandangkan anda mungkin menjadi penerima bayaran yang dibiayai melalui kad, Persatuan menghendaki anda memasuki hubungan kontrak secara langsung dengan seorang pemeroleh yang merupakan ahli Persatuan. Dengan memasuki CEA ini, anda memenuhi keperluan Persatuan tersebut dan anda bersetuju untuk mematuhi peraturan Persatuan yang berkaitan dengan bayaran yang anda terima melalui Perkhidmatan PayPal.
  2. Kewajipan Pemeroleh. 
    1. Kewajipan Pemeroleh di bawah CEA ini terhad secara eksklusif kepada pemprosesan transaksi kad Peniaga di wilayah tempat Peniaga beroperasi serta penerimaan dan pembayaran dana berkaitan kepada PayPal bagi pihak Peniaga (“Perkhidmatan Pemerolehan”).  Semua kewajipan lain yang berhubung dengan penyediaan perkhidmatan di bawah Perjanjian PayPal adalah tanggungjawab PayPal, dan sebarang isu, ketidakpuasan hati, pertikaian dan/atau pertikaian perkhidmatan Peniaga yang berhubung dengan mana-mana perkhidmatan yang disediakan kepada Peniaga hendaklah diberitahu dan dikemukakan kepada PayPal secepat mungkin.
    2. Tertakluk kepada terma CEA ini dan Perjanjian PayPal, Pemeroleh akan memulakan bayaran ke akaun yang ditetapkan (seperti yang dimaklumkan kepada Pemeroleh oleh PayPal) bagi amaun yang sama dengan nilai transaksi kad yang diproses oleh Pemeroleh untuk Peniaga di bawah CEA ini (ditolak potongan untuk bayaran balik, denda, penilaian, caj balik, kos caj balik, yuran atau liabiliti Peniaga lain (sama ada sebenar atau jangkaan) di bawah CEA ini atau Perjanjian PayPal).  Sebarang kewajipan Pememeroleh untuk mengirimkan dana di bawah CEA ini adalah tertakluk kepada sebarang hak Pemeroleh di bawah perjanjiannya dengan PayPal.
    3. Peniaga bersetuju bahawa sebarang bayaran yang dibuat kepada PayPal oleh Pemeroleh di bawah CEA ini akan dianggap sebagai penerimaan yang sah oleh Peniaga terhadap amaun yang perlu dibayar daripada Pemeroleh kepada Peniaga berhubung liabiliti Pemeroleh di bawah CEA ini. Peniaga hendaklah menanggung rugi Pemeroleh dan terus memastikan Pemeroleh dilindungi daripada semua kerugian, kos, tuntutan, permintaan, perbelanjaan (termasuk perbelanjaan guaman) dan liabiliti dalam apa jua bentuk (termasuk apa-apa kewajipan penyelesaian semula di bawah peraturan Persatuan) yang timbul daripada atau berkaitan dengan bayaran dana oleh Pemeroleh ke dalam akaun atas nama PayPal selaras dengan terma CEA ini.
    4. Sepanjang tempoh CEA ini dan selepas penamatannya atas apa jua sebab, Pemeroleh berhak untuk menangguhkan (bagi tempoh tersebut sebagaimana yang dianggap wajar mengikut budi bicara munasabahnya) tarikh bayaran dana berhubung dengan transaksi kad yang akan (kecuali untuk fasal ini) perlu dibayar untuk melindungi kedudukannya berhubung dengan caj balik sebenar atau jangkaan, denda, penilaian, bayaran balik, kos caj balik, yuran, penipuan, aktiviti tidak sah atau sebarang liabiliti lain Peniaga atau berkaitan dengan mana-mana transaksi kad atau di bawah CEA ini atau PPA, sama ada sebenar atau jangkaan.  Amaun yang ditangguhkan boleh ditolak daripada sebarang caj balik sebenar, denda, taksiran, bayaran balik, kos caj balik, yuran atau sebarang liabiliti lain oleh Peniaga.   Peniaga memahami dan mengakui bahawa semasa tempoh CEA ini dan selepas penamatannya atas apa jua sebab, Peniaga akan terus menanggung keseluruhan tanggungjawab untuk semua caj balik, kos caj balik, bayaran balik, denda, penilaian, yuran, penipuan dan aktiviti tidak sah hasil dalam apa-apa cara daripada transaksi kad yang diproses menurut CEA ini dan semua amaun lain yang kemudian perlu dibayar atau yang selepas itu mungkin perlu dibayar di bawah CEA ini atau Perjanjian PayPal.
  3. Peraturan Persatuan.
    1. Transaksi Deposit. Peniaga bersetuju bahawa mereka hanya akan menerima bayaran melalui perkhidmatan pemprosesan PayPal untuk transaksi bona fide di antara Peniaga dan pelanggannya untuk jualan barangan atau perkhidmatan. Peniaga tidak boleh mengemukakan transaksi untuk membiayai semula atau memindahkan kewajipan sedia ada yang tidak dapat dikutip. Peniaga mengakui bahawa untuk bayaran Visa dan Mastercard, PayPal akan mendapatkan pengesahan untuk amaun transaksi sebelum melengkapkan transaksi.
    2. Transaksi Pembahagian. Peniaga bersetuju untuk tidak membahagikan jualan kepada dua (atau lebih) amaun berasingan bagi mengelakkan mendapatkan pengesahan untuk amaun penuh. Walau bagaimanapun, dalam keadaan di mana Peniaga dan pemegang kad bersetuju dengan penghantaran sebahagian produk, atau apabila transaksi memenuhi syarat penghantaran yang tertangguh atau deposit pesanan khas (seperti penghantaran sebahagian produk berdasarkan stok yang sedia ada), suatu jualan itu boleh dibahagikan kepada beberapa transaksi.
    3. Surcaj/Minimum atau Maksimum. Peniaga bersetuju bahawa mereka tidak akan menetapkan jumlah minimum atau maksimum transaksi atau mengenakan surcaj sebagai syarat untuk menerima pembayaran menggunakan kad Visa dan Mastercard, kecuali jika dibenarkan dalam bidang kuasa tertentu bagi suatu transaksi.
    4. Tanda Dagangan Visa dan Mastercard. Peniaga dibenarkan dan perlu menggunakan logo atau tanda dagangan Visa dan Mastercard pada bahan promosi dan laman web Peniaga untuk menunjukkan bahawa kad Visa dan Mastercard diterima sebagai sumber pendanaan untuk transaksi PayPal.
    5. Diskriminasi. Peniaga bersetuju bahawa mereka tidak akan terlibat dalam apa-apa amalan penerimaan yang mendiskriminasi atau tidak menggalakkan penggunaan Visa atau Mastercard dan lebih memilih mana-mana jenama kad lain kecuali jika dibenarkan dalam bidang kuasa tertentu transaksi.
    6. Akses kepada Data Pemegang Kad. Peniaga mengakui bahawa apabila mereka mempunyai akses kepada Data Pemegang Kad (ditakrifkan sebagai nombor kad, tarikh tamat tempoh, dan CVV2 pemegang kad), mereka akan mematuhi sebarang piawaian keselamatan data Majlis Piawaian Industri Kad Bayaran (atau mana-mana badan gantian), Visa atau Mastercard, termasuk Piawaian SSC Industri Kad Bayaran. Di samping itu, anda bersetuju untuk mematuhi piawaian keselamatan data yang diperlukan oleh PayPal di bawah Perjanjian PayPal yang boleh dipinda dari semasa ke semasa.  . Sekiranya Peniaga menerima Data Pemegang Kad yang berkaitan dengan perkhidmatan pemprosesan PayPal, Peniaga bersetuju bahawa mereka tidak akan menggunakan Data Pemegang Kad untuk sebarang tujuan yang diketahui atau sepatutnya diketahuinya sebagai tujuan penipuan atau yang melanggar mana-mana peraturan Persatuan. Peniaga juga bersetuju bahawa mereka tidak akan menjual, membeli, menyediakan atau bertukar dalam apa jua cara atau mendedahkan Data Pemegang Kad kepada orang lain selain daripada pemerolehnya, Visa atau Mastercard (seperti yang berkenaan) atau sebagai jawapan kepada permintaan kerajaan.
    7. Identifikasi Peniaga. Peniaga bersetuju untuk memaklumkan dengan jelas kepada pemegang kad akan identiti Peniaga di semua tempat interaksi termasuk lokasi (alamat fizikal) Peniaga untuk membolehkan pemegang kad dengan mudah menentukan sama ada transaksi tersebut akan menjadi transaksi domestik atau transaksi merentas sempadan.
    8. Caj Balik. Peniaga hendaklah menggunakan semua kaedah yang munasabah untuk menyelesaikan pertikaian dengan pemegang kad. Sekiranya pertikaian bagi caj balik berlaku, Peniaga hendaklah mematuhi semua permintaan untuk maklumat daripada PayPal dengan segera. Peniaga tidak akan cuba untuk mengecaj semula pemegang kad untuk item yang telah dicaj balik kepada pemegang kad, melainkan pemegang kad telah membenarkan tindakan tersebut.
  4. Polisi Bayaran Balik Peniaga mestilah berada di Laman Web Peniaga. Jika Peniaga mengehadkan terma bayaran balik/pertukaran atau syarat khusus lain untuk jualan Kad, polisi Peniaga mestilah disediakan dengan jelas kepada pemegang kad sebelum jualan dan Peniaga perlu mematuhi semua undang-undang berkenaan dan peraturan Persatuan.
  5. Audit.  Apabila diminta oleh Pemeroleh, Peniaga mesti segera mendedahkan kepada Pemeroleh apa-apa maklumat yang munasabah yang diperlukan oleh Pemeroleh bagi membolehkannya melaksanakan kewajipannya, dan/atau menilai risiko kewangan dan insuransnya berkaitan perkhidmatan yang diberikan, dan/atau menilai pematuhan Peniaga terhadap terma CEA dan/atau peraturan Persatuan.
  6. Tempoh dan Penamatan. CEA ini berkuat kuasa apabila tarikh Perjanjian PayPal antara Peniaga dan PayPal mula berkuat kuasa dan berterusan selagi Perjanjian PayPal kekal berkuat kuasa antara Peniaga dan PayPal, tetapi akan tamat secara automatik tanpa notis penamatan apabila Perjanjian PayPal tersebut ditamatkan atas apa jua sebab, dengan syarat bahawa terma-terma tersebut yang pada asalnya bertujuan untuk terus berkuat kuasa selepas penamatan (termasuk, tetapi tidak terhad kepada, kewajipan ganti rugi serta had liabiliti) akan terus berkuat kuasa. CEA ini boleh ditamatkan oleh Pemeroleh pada bila-bila masa sekiranya berlaku pelanggaran mana-mana kewajipan Peniaga di bawah CEA ini atau Perjanjian PayPal, atau oleh Peniaga sekiranya berlaku pelanggaran mana-mana kewajipan Pemeroleh di bawah CEA ini, atau oleh Pemeroleh sekiranya berlaku penamatan perjanjian perkhidmatan pemerolehan yang dimeterai di antara PayPal (atau syarikat kumpulan yang berkenaan) dan Pemeroleh seperti yang dimaklumkan kepada Peniaga.
  7. Ganti Rugi. Peniaga bersetuju untuk menanggung rugi dan membebaskan Pemeroleh daripada semua kerugian, liabiliti, kerosakan, dan perbelanjaan: (a) akibat daripada pelanggaran sebarang waranti, kesepakatan atau perjanjian atau apa-apa salah nyata oleh Peniaga di bawah CEA ini; (b) yang berpunca daripada kecuaian atau salah laku yang disengajakan oleh Peniaga atau para pekerjanya, (c) yang timbul berhubung dengan transaksi Kad atau timbul daripada peruntukan barangan dan perkhidmatan oleh Peniaga kepada Pemegang Kad atau pelanggan; (d) yang timbul daripada penggunaan Perkhidmatan PayPal oleh Peniaga; atau (e) akibat daripada sebarang denda atau yang timbul daripada mana-mana ganti rugi pihak ketiga yang perlu dibuat oleh Pemeroleh akibat tindakan Peniaga (termasuk kerugian bagi mana-mana Persatuan atau bank pengeluar Kad).
  8. Penyerahan/Pindaan. CEA ini tidak boleh ditetapkan oleh Peniaga tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pemeroleh. Pemeroleh boleh menetapkan haknya di bawah CEA ini tanpa persetujuan Peniaga.
  9. Penafian Waranti. CEA ini ialah perjanjian perkhidmatan. Pemeroleh menafikan semua representasi atau jaminan, sama ada secara nyata atau tersirat, yang dibuat kepada Peniaga atau mana-mana individu lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada, sebarang jaminan mengenai kualiti, kesesuaian, kebolehpasaran, kesesuaian untuk tujuan tertentu atau sebarang jaminan lain terhadap perkhidmatan atau barangan yang disediakan secara sampingan berhubung dengan perkhidmatan yang diberikan di bawah CEA ini, setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.
  10. Had Liabiliti. Walau apa pun yang bertentangan dalam CEA ini, Pemeroleh atau mana-mana pengarahnya, pegawai, pekerja, ejen atau subkontraktor, tidak akan bertanggungjawab dalam apa-apa pun keadaan, terhadap kehilangan keuntungan, kehilangan pendapatan, kehilangan peluang perniagaan, ganti rugi teladan, punitif, khas, sampingan, tidak langsung atau berbangkit, di bawah apa-apa teori tort, kontrak, liabiliti yang ketat atau teori perundangan yang lain, yang mana setiap satu daripada ini dikecualikan oleh perjanjian pihak, tidak kira sama ada ganti rugi sedemikian boleh diramalkan atau sama ada Pemeroleh telah dinasihatkan tentang kemungkinan ganti rugi tersebut. Walau apa pun yang bertentangan dalam CEA ini, Pemeroleh tidak akan bertanggungjawab, dalam apa-apa juga keadaan, terhadap apa-apa kelewatan atau kesilapan dalam pelaksanaan perkhidmatan yang disebabkan oleh pembekal perkhidmatannya atau pihak lain atau peristiwa yang di luar kawalan munasabah Pemeroleh, termasuk PayPal. Walau apa pun yang bertentangan dalam CEA ini, liabiliti terkumpul bagi Pemeroleh untuk semua kerugian, tuntutan, guaman, kontroversi, pelanggaran atau ganti rugi untuk apa-apa sebab sekalipun, yang timbul daripada atau yang berkaitan dengan CEA ini dan tanpa mengira bentuk tindakan atau teori perundangan dan sama ada atau tidak ia timbul dalam kontrak atau tort (tidak termasuk kecuaian) tidak boleh melebihi jumlah keseluruhan transaksi yang telah dinyatakan dalam amaun dolar A.S. yang diproses oleh Peniaga di bawah CEA ini melalui PayPal. Tiada apa-apa pun dalam CEA ini yang akan dapat mengecualikan atau mengehadkan sebarang liabiliti mana-mana pihak atas kematian atau kecederaan diri yang disebabkan oleh kecuaian atau fraud, penipuan atau salah nyata penipuan, walau apa pun puncanya.
  11. Penepian. Kegagalan pihak untuk menegaskan mana-mana haknya di bawah CEA ini, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, hak untuk menamatkan CEA ini jika berlaku pelanggaran atau keingkaran oleh pihak yang lain, tidak akan dianggap sebagai penepian oleh pihak itu terhadap hak untuk menguatkuasakan setiap dan semua peruntukan dalam CEA ini mengikut termanya.
  12. Hubungan antara Pihak. Tiada hubungan agensi, perkongsian, usaha sama atau pekerjaan yang dicipta di antara Peniaga dan Pemeroleh dengan CEA ini. Dalam melaksanakan kewajipan masing-masing di bawah perjanjian ini, pihak-pihak yang terlibat adalah, dan akan terus menjadi, kontraktor bebas. Tiada apa-apa dalam CEA ini yang boleh ditafsirkan sebagai menjadikan mana-mana pihak sebagai ejen bagi pihak yang lain untuk apa-apa tujuan sekalipun. Tiada pihak yang akan mengikat, atau cuba mengikat, pihak yang lain kepada sebarang kontrak atau pelaksanaan mana-mana kewajipan, dan tiada pihak yang akan menyatakan kepada mana-mana pihak ketiga bahawa ia mempunyai hak untuk mewujudkan sebarang kewajipan yang mengikat bagi pihak-pihak yang lain.
  13. Tiada Penggunaan Perkhidmatan Secara Haram. Peniaga tidak akan mengakses dan/atau menggunakan Perkhidmatan Diperoleh untuk tujuan tidak sah dan tidak akan mengganggu rangkaian yang berkaitan dengan Perkhidmatan Diperoleh.
  14. Kebolehasingan. Apabila boleh, setiap satu daripada peruntukan CEA ini akan ditafsirkan dalam cara yang efektif dan sah di bawah undang-undang berkenaan, tetapi jika apa-apa peruntukan di dalamnya adalah dilarang atau ditentukan sebagai tidak sah oleh mahkamah bidang kuasa kompeten, peruntukan tersebut tidak akan berkuat kuasa setakat mana-mana larangan atau ketidaksahihan, tanpa membatalkan baki peruntukan tersebut atau peruntukan yang selebihnya dalam CEA ini.
  15. Undang-Undang Pemerintah. CEA ini (serta hubungan yang dirujuk atau difikirkan melaluinya) hendaklah ditadbir dan ditafsir selaras dengan undang-undang Inggeris, dan pihak-pihak bersetuju untuk tertakluk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah England dan Wales berhubung sebarang pertikaian di bawahnya.
  • English
  • Bantuan
  • Kenalan
  • Yuran
  • Keselamatan
  • Ciri-ciri
  • Beli-belah

  • Tentang
  • Bilik Berita
  • Kerjaya
  • Pembangun

  • © 1999–2026 Hak cipta terpelihara.
  • Kebolehcapaian
  • Kuki
  • Privasi
  • Perundangan

PayPal Pte. Ltd. is licensed by the Monetary Authority of Singapore as a Major Payment Institution under the Payment Services Act 2019.